Dasar Privasi SusunJalan
Dikemas kini 21 November 2026
SusunJalan ialah aplikasi web yang membantu rider penghantaran menyusun turutan tempat ambil dan hantar. SusunJalan dikendalikan oleh I Setel Solutions ("kami"). Dasar ini menerangkan data yang diproses oleh SusunJalan, sebabnya, berapa lama ia disimpan, dan hak anda di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Ringkasnya
- Senarai order, screenshot, bacaan teks dan susunan hentian disimpan dan diproses dalam telefon anda.
- Untuk log masuk, kami tidak menyimpan nombor telefon penuh anda.
- Kami tidak menjual data, tidak memaparkan iklan dan tidak menggunakan penjejak iklan.
Data dalam telefon anda
Data berikut disimpan dalam storan pelayar di telefon anda. Hanya bahagian yang diterangkan di bawah "Data yang dihantar ke pelayan kami" keluar dari telefon.
- Order yang anda masukkan: tempat ambil dan hantar, bayaran (RM) dan nota.
- Screenshot yang anda kongsi ke SusunJalan. Teks dibaca dalam telefon, dan gambar dipadam selepas 24 jam.
- Lokasi rumah dan destinasi akhir yang anda simpan.
- Lokasi GPS semasa, untuk menyusun turutan dari kedudukan anda.
- Bahasa, nama pengguna dan token sesi log masuk.
Hasil carian alamat dalam telefon dipadam sendiri selepas 30 hari. Anda boleh memadam semua data ini bila-bila masa dengan log keluar dan memadam data laman susunjalan.isetelsolutions.my dalam tetapan pelayar.
Data yang dihantar ke pelayan kami
Log masuk WhatsApp
Untuk log masuk, anda menghantar satu kod (contohnya SJ-7K4Q9P) ke nombor WhatsApp SusunJalan. WhatsApp menghantar mesej itu kepada pelayan kami bersama nombor telefon pengirim. Kami menggunakannya untuk mengenal pasti akaun anda sahaja.
- Nombor penuh tidak disimpan. Kami menyimpan pengenal akaun yang dikira daripada nombor anda dengan kunci rahsia (HMAC-SHA256), 4 digit akhir nombor untuk dipaparkan dalam Profil, nama pengguna yang anda pilih, dan tarikh tamat Pro.
- Kami tidak membalas mesej itu dan tidak menyimpan isinya. Kod tamat dalam 10 minit dan hanya boleh digunakan sekali.
- Token sesi disimpan di pelayan dalam bentuk cincangan (hash). Sesi tamat selepas 180 hari atau bila anda log keluar.
Log masuk diperlukan untuk menggunakan SusunJalan. Jika anda tidak mahu nombor anda diproses seperti ini, jangan log masuk.
Carian alamat dan pautan lokasi
Bila telefon perlu mencari koordinat sesuatu alamat atau membuka pautan lokasi, teks alamat atau pautan itu dihantar ke pelayan kami bersama kedudukan anggaran anda, supaya hasil yang berdekatan diutamakan. Pelayan kami mencarinya melalui perkhidmatan peta berasaskan OpenStreetMap.
Alamat penuh tidak disimpan di pelayan. Hasil carian nama kawasan, serta pautan lokasi bersama hasilnya, disimpan sementara sehingga 30 hari supaya carian yang sama lebih cepat.
Jarak jalan raya
Bila jarak jalan raya diperlukan, koordinat hentian dihantar ke pelayan peta kami untuk mengira jarak dan masa perjalanan antara hentian. Hasil pengiraan disimpan sementara sehingga 7 hari.
Had guna percuma
Telefon anda mencipta ID peranti rawak. Kami merekod ID itu bersama ID senarai dan minggu untuk mengira had senarai percuma mingguan. Rekod ini tidak mengandungi nama atau nombor telefon dan tidak dikaitkan dengan akaun anda.
Log teknikal
Penyedia hosting kami merekod log permintaan, contohnya alamat IP, masa dan status permintaan, untuk keselamatan dan untuk menyelesaikan masalah. Log ini disimpan beberapa hari sahaja.
Pihak yang memproses data bagi pihak kami
- Cloudflare: hosting app, pelayan API, pangkalan data dan cache.
- WhatsApp (Meta): menghantar mesej log masuk anda kepada kami. Mesej yang anda hantar melalui WhatsApp juga tertakluk kepada dasar privasi WhatsApp.
- Tencent Cloud, Singapura: pelayan peta kami untuk carian alamat dan jarak jalan raya.
- Photon oleh komoot, Jerman: perkhidmatan carian alamat awam berasaskan OpenStreetMap, dipakai bila pelayan peta kami belum sedia atau tidak dapat dicapai.
Sebahagian pemprosesan ini berlaku di luar Malaysia.
Data pelanggan anda
Order anda mengandungi data peribadi orang lain, contohnya alamat pelanggan. SusunJalan memprosesnya dalam telefon untuk membantu anda menghantar, dan teks alamat dihantar untuk carian peta seperti di atas. Kami tidak menyimpan nama atau nombor telefon pelanggan di pelayan. Gunakan data ini untuk penghantaran sahaja.
Tempoh simpanan di pelayan
| Kod log masuk | 10 minit |
|---|---|
| Sesi log masuk | 180 hari, atau sehingga anda log keluar |
| Akaun: pengenal, 4 digit akhir, nama pengguna, status Pro | Sehingga anda meminta akaun dipadam |
| Cache carian kawasan dan pautan lokasi | 30 hari |
| Cache jarak jalan raya | 7 hari |
| Rekod had guna percuma | Disimpan untuk mengira had; tanpa nama atau nombor telefon |
| Log teknikal penyedia hosting | Beberapa hari |
Hak anda
- Anda boleh meminta salinan data akaun anda, meminta pembetulan, atau meminta akaun anda dipadam. Hubungi kami dan kami akan membalas dalam tempoh 21 hari. Kami mungkin meminta anda mengesahkan nombor WhatsApp anda dahulu.
- Anda boleh log keluar dan memadam data dalam telefon anda bila-bila masa.
- Anda boleh menarik balik persetujuan dengan berhenti menggunakan SusunJalan dan meminta akaun dipadam.
Umur
SusunJalan bertujuan untuk rider berumur 18 tahun ke atas.
Keselamatan
Sambungan ke pelayan kami disulitkan dengan HTTPS. Mesej log masuk diterima hanya selepas tandatangan WhatsApp disahkan, dan kunci rahsia pelayan tidak disimpan dalam app.
Perubahan pada dasar ini
Bila SusunJalan menambah ciri yang memproses data baharu, contohnya bayaran Pro, kami mengemas kini halaman ini dahulu dan menukar tarikh di atas.
Hubungi kami
I Setel Solutions
Emel: support@isetelsolutions.my
WhatsApp: +60 13-997 2853